20 MEI : Parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan komited untuk kekal menyokong dan bersama gabungan itu sehingga tamat penggal pentadbiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata komitmen ini mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
“Perdana Menteri menyatakan penghargaan terhadap komitmen semua rakan-rakan parti komponen dalam kerajaan Madani khususnya Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah menyatakan kekal menyokong dan akan bersama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
“Ini sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan pada awal mesyuarat hari ini, Anwar membangkitkan kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal namun wakil parti komponen menyatakan komitmen tersebut.
“Disebabkan beliau ada bercakap mengenai soal ini (PRU awal) sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Ahad lalu, beliau ada memaklumkan kepada jemaah menteri mengenai perkara itu.
“Parti komponen dalam Kerajaan Persekutuan menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, jadi komitmen itu diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini,” katanya.
Ahad lalu, ketika menyampaikan amanat pada konvensyen itu, Anwar yang juga Pengerusi PH menyatakan Parlimen mungkin bakal dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU16 berikutan kestabilan politik negara terus digugat.
Ia susulan keputusan UMNO dan BN untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.