25 MEI : Kerajaan memandang serius insiden yang meragut nyawa tiga pekerja kontraktor di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Beliau turut mendoakan mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat itu.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera.
“Kerajaan memandang serius insiden ini dan yakin siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan oleh pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan aspek keselamatan pekerjaan sentiasa diperkukuh demi melindungi kebajikan para pekerja negara,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu melalui akaun X, hari ini.
Dalam kejadian tengah hari semalam, tiga pekerja kontraktor Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam laut dari atas platform bersama-sama bot penyelamat sementara seorang lagi cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku 12.50 tengah hari semasa kesemua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu.
Bagaimanapun, cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.
Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28 dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38.
Petronas mengesahkan insiden itu dan memaklumkan siasatan bagi mengesan punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
