25 MEI : Peningkatan kes penipuan dalam talian yang semakin kompleks dengan penggunaan teknologi kian membimbangkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi menangani perkara itu secara bersepadu, kerajaan bercadang menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkukuh kerjasama antara agensi.
“Pada tahun 2025, rakyat Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM2.7 bilion akibat jenayah penipuan. Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM1.2 billion wang yang cuba dicuri sindiket penipuan berjaya disekat oleh mekanisme keselamatan institusi kewangan.
“Kita lihat satu jawatankuasa wajar dibentuk supaya kerjasama yang bersepadu dan berterusan dapat diwujudkan antara agensi penguat kuasa, badan kawal selia, syarikat telekomunikasi dan juga bank,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 pada Ahad.
Menurutnya, jawatankuasa itu melibatkan agensi penguat kuasa, badan kawal selia, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan platform digital.
Selain itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan turut memberi perhatian dalam aspek sokongan psikologi terhadap mangsa penipuan yang trauma akibat kehilangan wang simpanan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai yang menjadi mangsa agar segera menghubungi talian 997 milik National Scam Response Centre (NSRC).
Selain itu, Fahmi berkata orang ramai diingatkan juga agar tidak menyewakan akaun bank kepada pihak ketiga bagi mengelakkan menjadi akaun keldai.
Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Global Anti-Scam Alliance (GASA) sebagai langkah memperluas kerjasama antarabangsa dalam memerangi scam digital melalui perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan kesedaran awam.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia itu menghimpunkan pelbagai agensi serta pemain industri bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan merentas pelbagai platform digital.
*FOTO : FACEBOOK KEMENTERIAN KOMUNIKASI