1 JUN : Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan kuota bulanan subsidi petrol melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal 200 liter sebulan.
Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan dalam kalangan pengguna selepas sistem BUDI95 memaparkan had bulanan 150 liter pada malam tadi.
Melalui satu kenyataan, kementerian itu menjelaskan paparan berkenaan berpunca daripada ralat teknikal ketika kerja-kerja penyelenggaran sistem.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa semasa penyelenggaraan sistem BUDI95 pada jam 11 malam, 31 Mei 2026, sebahagian pengguna mungkin telah melihat paparan had bulanan menjadi 150 liter.
“Ingin dijelaskan bahawa paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.
“Kementerian Kewangan ingin menegaskan kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak termasuk untuk bulan Jun 2026.
“Justeru, ingin ditegaskan tiada sebarang perubahan telah dibuat terhadap had bulanan BUDI95,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam masa sama, MoF menzahirkan kekesalan atas kekeliruan yang timbul susulan ralat berkenaan dan memberi jaminan akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus serta teratur.
“Segala kekeliruan berkenaan ralat ini amat dikesali.
Kementerian Kewangan akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur demi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak,” menurut MoF.