5 JUN : Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Serbia atas kematian seorang anggota pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa di Lubnan (UNIFIL) berikutan insiden di selatan lubnan.
Kementerian Luar Negeri berkata Kerajaan Malaysia turut berharap dua anggota lain yang cedera dalam kejadian itu segera sembuh.
“Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Serbia di atas kehilangan nyawa seorang anggota pasukan pengaman Serbia yang yang berkhidmat di bawah UNIFIL pada 4 Jun 2026 akibat kecederaan yang dialami berikutan insiden berhampiran Marjayoun, selatan Lubnan pada 3 Jun 2026.
“Insiden tersebut turut mencederakan dua anggota pengaman dari El Salvador dan Sepanyol dan kerajaan berharap agar mereka cepat sembuh,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, menurut kementerian itu Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Keganasan yang berterusan dan serangan terhadap pasukan pengaman serta orang awam ini berpunca secara langsung daripada pencabulan Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan
“Ini tidak boleh dijustifikasi dalam apa jua keadaan,” menurut kenyataan itu lagi.
Justeru itu, katanya, Malaysia menggesa agar keganasan dihentikan dan menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan orang awam di Lubnan.
Semalam, UNIFIL mengesahkan seorang anggota pengaman terbunuh manakala dua lagi cedera selepas peluru mortar mengenai kedudukan mereka di selatan Lubnan.
Menurut misi itu, anggota terbabit sempat dipindahkan melalui udara ke sebuah hospital di Beirut namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tersebut.