6 JUN : Kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan Dana Program Berimpak Tinggi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sehingga RM50 juta dalam usaha memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana itu akan digunakan untuk memperluas program latihan, mempertingkat pendedahan industri dan memperkasa pembangunan kemahiran.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia bagi memastikan tenaga kerja memenuhi keperluan pasaran semasa dan masa depan.
Beliau menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan dan industri untuk memastikan program latihan ditawarkan bersesuaian dengan keperluan semasa.
“Saya tegaskan semula bahawa kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi PTPK digunakan untuk TVET 2.0.
“Syaratnya ialah majikan dan pihak industri perlu bekerjasama dengan kerajaan, khususnya melalui Majlis TVET Negara, supaya wujud penyelarasan yang lebih berkesan dalam menjayakan agenda ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan majlis Sambutan Hari TVET Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata negara perlu menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran khususnya dalam sektor teknologi baharu berikutan permintaan tinggi daripada pelabur asing.
Selain itu, beliau menegaskan keperluan pendekatan latihan yang lebih pantas dan selari dengan keperluan industri seperti kecerdasan buatan (AI), kripto serta peralihan tenaga.
Terdahulu, Anwar berkata TVET 2.0 diperkenalkan untuk menyesuaikan sistem latihan negara dengan perubahan teknologi dan landskap pekerjaan semasa.