14 JUL : Kerajaan Negeri Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri memandang serius isu itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
“Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri sudah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.
Siasatan itu meliputi identiti serta kewarganegaraan individu yang terbabit, dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua, jenis pas juga tujuan kemasukan ke Malaysia selain memastikan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.
Pada masa sama, Onn Hafiz berkata Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School serta sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.
“Di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi-agensi berkaitan akan menyemak semula semua aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Ini termasuk pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang berkuat kuasa,” katanya.
Onn Hafiz berkata sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, kerajaan negeri menggesa tindakan tegas diambil tanpa sebarang kompromi.
Beliau menegaskan Kerajaan Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara.
Isu Network School di Forest City itu tersebar di media sosial selepas ada pihak mendakwa ia berkait dengan penglibatan pihak yang pro-Israel.