KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN
Moody’s Ratings (Moody’s) telah selesai melaksanakan semakan berkala terhadap penarafan berdaulat Malaysia. Penarafan penerbit mata wang asing dan tempatan jangka masa panjang Malaysia kekal pada A3 dengan Tinjauan Stabil.
Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang dengan lebih cepat pada tahun 2026 berbanding negara berpenarafan setara disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang kukuh, sumber asli yang mencukupi dan simpanan domestik yang besar.
Kekuatan tersebut di samping asas pelabur domestik yang besar, terus menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan serta mengekalkan kos pinjaman pada tahap yang sederhana.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berkata bahawa penilaian Moody’s mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia serta kemajuan yang dicapai dalam mengukuhkan disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan meluaskan asas hasil.
“Agenda reformasi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, masih panjang perjalanan sebelum hasilnya dapat dirasai sepenuhnya. Penilaian ini tidak seharusnya menjadikan kita alpa atau leka. Sebaliknya, ia harus memperkukuh tekad kita untuk terus mempergiat ikhtiar reformasi demi memastikan pengurusan ekonomi yang berhemah benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas serta kesejahteraan yang dapat dirasai oleh rakyat,” tambah beliau.
“Dalam suasana dunia yang masih diselubungi ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran global, Malaysia mesti terus memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar dan momentum reformasi. Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekonomi negara serta memperkukuh asas pertumbuhan yang mampan,” Dato’ Seri Anwar.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4% tahun ke tahun pada suku pertama 2026, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2% pada 2025. Moody’s mengaitkan prestasi yang lebih kukuh dengan permintaan domestik yang memberangsangkan, khususnya penggunaan dan pelaburan swasta, di samping sumbangan yang lebih kukuh daripada eksport elektronik.
Walaupun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat, ketidaktentuan harga tenaga global serta permintaan luar yang lebih perlahan, Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus mencatat prestasi yang lebih baik berbanding negara berdaulat berpenarafan setara yang lain.
Moody’s turut mengiktiraf bahawa pembaharuan hasil yang dilaksanakan sejak tahun 2023 telah berjaya memperluaskan asas hasil cukai Kerajaan, sekaligus menyokong usaha konsolidasi fiskal secara beransur-ansur walaupun kerajaan berdepan peningkatan perbelanjaan subsidi akibat harga tenaga global yang tinggi serta peningkatan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Agensi penarafan tersebut seterusnya mengiktiraf institusi eksekutif dan perundangan Malaysia yang kukuh, rekod prestasi penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, syarat pembiayaan domestik yang menggalakkan dan kestabilan makroekonomi yang luas.
Tinjauan Stabil mencerminkan risiko seimbang kepada profil kredit Malaysia. Prestasi ekonomi yang lebih kukuh dan penyatuan fiskal yang lebih pantas boleh menyokong penjanaan hasil yang lebih tinggi, pengurangan hutang material dan kemampuan hutang yang lebih baik.
Selain penilaian Moody’s, petunjuk ekonomi Malaysia yang lebih menyeluruh turut menunjukkan pengukuhan asas ekonomi negara. Kadar pengangguran berkurang kepada 2.9% pada suku pertama 2026 iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad dengan jumlah guna tenaga meningkat kepada 16.7 juta orang dan sebanyak 48,500 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh tersebut.
Kedudukan Malaysia juga melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam 2026 IMD World Competitiveness Ranking iaitu kedudukan tertinggi sejak tahun 2020. Malaysia turut mengekalkan kedudukan keempat pada peringkat global bagi Prestasi Ekonomi di samping mencatatkan peningkatan dalam aspek Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.
Nilai ringgit mengukuh sebanyak 10.1% berbanding dolar AS pada tahun 2025, sekali gus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia pada tahun tersebut.
Kerajaan MADANI kekal komited terhadap objektif fiskal yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850). Kerajaan akan terus meluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan, mengukuhkan ketelusan fiskal dan menyasarkan subsidi yang lebih baik serta melindungi kebajikan rakyat.
KEMENTERIAN KEWANGAN