16 JUL : Kerajaan memperkukuh mekanisme membendung penyebaran berita palsu, maklumat mengelirukan dan tidak tepat dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, hari ini berkata ia juga menetapkan tindakan dalam tempoh 24 jam terhadap kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan.
“Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan pendekatan menyeluruh bagi membendung penyebaran fake news, disinformation dan misinformation melalui penguatkuasaan undang-undang, kerjasama strategik dengan penyedia platform, pemanfaatan teknologi digital serta pemerkasaan literasi digital masyarakat.
“Dari aspek kawal selia, MCMC melaksanakan pemantauan secara proaktif dan mengambil tindakan selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866],” menurut jawapan bertulis itu.
Menurut MCMC, di bawah Akta 866,Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025, pemberi perkhidmatan berlesen diwajibkan mengambil tindakan terhadap kandungan memudaratkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Bagi kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan, kandungan tersebut hendaklah dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan penilaian, pengesahan dan tindakan lanjut dilaksanakan,” kata kementerian itu.
Jawapan itu susulan pertanyaan dibangkitkan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan mekanisme sudah dirangka atau dalam perancangan demi mengawal penyebaran berita palsu, disinformation dan misinformation terutama dalam tempoh kritikal kurang 24 jam sebelum penularan secara meluas seperti memanfaatkan teknologi AI untuk mengesan lebih awal serta memantau kandungan palsu lebih berkesan.
Sementara itu, katanya, bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Mei 2026, MCMC sudah mengemukakan 63,215 permohonan penurunan kandungan palsu kepada penyedia perkhidmatan dengan 54,626 kandungan atau 86 peratus (%) berjaya diturunkan.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2026 pula sebanyak lima permohonan penurunan kandungan berunsur penipuan kewangan dikemukakan di bawah Akta 866 dan kesemuanya berjaya diturunkan, menurut kementerian tersebut.
Selain penguatkuasaan, kementerian berkata MCMC turut memperkukuh usaha membendung penyebaran maklumat palsu menerusi portal semakan fakta Sebenarnya.my dan pada Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA).
Dalam pada itu, kementerian berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha pencegahan menerusi Kempen Internet Selamat yang menggalakkan orang ramai menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi.
“Sehingga 15 Jun lalu, kempen ini sudah dilaksanakan di 10,291 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta menerusi 1,938 program kepada masyarakat umum dengan penyertaan 2,136,941 peserta di seluruh negara.
“Kerajaan komited memastikan penyebaran berita palsu, maklumat mengelirukan dan tidak tepat dapat dibendung secara lebih berkesan demi menjamin keselamatan juga kesejahteraan ekosistem digital negara,” menurut kementerian itu lagi.