Isteri Netanyahu mohon perlindungan keselamatan jangka panjang
16 JUL: Isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu dilapor memohon perlindungan keselamatan seumur hidup daripada agensi keselamatan negara, Shin Bet untuk dirinya serta dua anak, Yair dan Avner.
Media Israel melaporkan permohonan itu dibuat ketika pertemuan dengan Ketua Shin Bet, David Zini.
Laporan berkenaan mendakwa Isteri Benjamin Netanyahu itu mahu perlindungan keselamatan dikekalkan tanpa mengira keputusan pilihan raya akan datang.
Selain itu, Sara juga dikatakan memohon perlindungan serta-merta selama lima tahun kepada dirinya dan dua anaknya.
Namun sehingga kini, permohonan itu masih belum diluluskan.
Permohonan itu dikatakan dibuat susulan kebimbangan keluarga Netanyahu akan kehilangan perlindungan keselamatan sekiranya Benjamin Netanyahu tidak lagi menyandang jawatan Perdana Menteri.
Mengikut undang-undang Israel, bekas Perdana Menteri layak menerima perlindungan keselamatan sehingga 20 tahun selepas tamat tempoh perkhidmatannya namun keluarga tidak termasuk dalam peruntukan tersebut.
Pejabat Perdana Menteri Israel menafikan laporan tersebut.
*Foto : Facebook The Prime Minister of Israel