17 JUL : Pengamal media diingatkan agar menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan jati diri, nilai, budaya dan etika kewartawanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan teknologi digital perlu diseimbangkan dengan pegangan nilai dan akhlak.
“Harus sentiasa diperingatkan…nasihat…dalam mempertahankan keperluan kebebasan teknologi maklumat dan digital serta AI dalam masa yang sama, teknologi baru itu tidak harus miskin dan gersang dari segi nilai. Ini juga satu perkara yang perlu dikupas oleh kolumnis-kolumnis semasa.
“Saya percaya kerajaan menerusi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut bertanggungjawab bersama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat membantu bagi pihak media, kita akan mendengar pandangan dan menerima teguran dengan baik kerana dalam hal ini, negara tidak boleh berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2025, malam ini.
Menurut Anwar, perkembangan teknologi digital membawa kekuatan baharu kepada industri media, namun pada masa sama turut menghadirkan cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana.
“Hari ini ada orang-orang media kita berbicara tentang keperluan mencapai teknologi baharu, tetapi berwaspada tentang kehilangan jati diri untuk menjaga nilai dan akhlak.
“Ini dibahaskan secara serius terutama dengan adanya teknologi ini,” katanya.
Menurut Anwar, jika dahulu dunia berdepan pengaruh media yang dikuasai kuasa Barat, kini masyarakat pula berhadapan cabaran baharu apabila teknologi digunakan sebagai instrumen mempengaruhi pemikiran.
“Kalau dulu ‘captive mind’ itu diutarakan oleh pusat alat itu adalah pandangan yang disempitkan oleh teknologi yang tertentu. Sekarang ‘captive mind’ ini adalah teknologi termasuk digitalisation tadi.
“Negara terpaksa bergerak untuk menguasai teknologi baharu, tapi negara harus juga ingat, asal teknologi baharu itu tidak miskin dan gersang dari segi nilai. Bagaimana kita harus memenuhi keperluan teknologi baharu untuk mempertahankan nilai dan akhlak,” katanya.

*Foto utama: Facebook MPI