20 JUL : UMNO sekali lagi memberi jaminan akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan tidak akan sesekali ‘menebuk atap’.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata komitmen itu termaktub dalam perjanjian yang dipersetujui ketika membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Inti pati pertama perjanjian membabitkan permuafakatan. Ini adalah demi untuk menjaga kestabilan, memastikan, kemakmuran dan keharmonian negara sepanjang sesi penggal Parlimen ini dapat kita sama-sama pertahankan demi untuk kemajuan negara.
“Selama hampir empat tahun kita bersama dalam kerajaan ini, semua memainkan peranan bersama menjaga kestabilan dan memakmurkan negara. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan sesiapa.
“Barisan Nasional (BN) tak boleh menafikan Pakatan Harapan (PH), PH tak boleh menafikan BN, tak boleh menafikan GRS, GPS dan sebagainya. Itu asas yang penting. Maknanya kita akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Yang kedua, intipati penting ialah perjanjian ini terpakai sehingga pilihan raya umum (PRU16). Sebab itulah BN, Ahmad Zahid Hamidi sendiri sentiasa menyebut bahawa kita tidak akan sesekali menebuk atap kerana itu perjanjian yang kita sepakati bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Perantisan MARA-SWITCHPRO, hari ini.
Menyentuh soal kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan ketika ini, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata situasi politik di peringkat negeri tidak wajar dicampur aduk dengan persefahaman yang dimeterai di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, jika masih ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak berpuas hati dengan situasi itu, keputusan untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tetapi dalam konteks Johor dan juga Negeri Sembilan itu berbeza kerana itu sudah berlaku pilihan raya. Tetapi jangan kita campur aduk PRN dengan persefahaman dan perjanjian yang ada di peringkat Persekutuan.
“Dalam konteks Persekutuan ini, intipati yang saya sebutkan tadi menjurus kepada semua portfolio ini sudah pun disepakati dalam perjanjian.
“Kementerian-kementerian yang dipegang oleh menteri-menteri, timbalan menteri BN dan juga agensi-agensi termasuk MARA, termasuk RISDA, termasuk FELCRA. Ini semua adalah dalam perjanjian.
“Kalau mana-mana pihak nak minta supaya kita leraikan semua perkara ini maknanya kita kena semua sepakat bahawa kita kena serahkan balik mandat ini kepada rakyat. Maknanya bubarlah. Di situ baru hilanglah, terlerailah perjanjian permuafakatan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini,” katanya.
