20 JUL : Sebanyak 8,014 pertuduhan jenayah penipuan dalam talian direkodkan setakat Mei tahun ini, lebih tinggi berbanding keseluruhan 6,140 pertuduhan sepanjang 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peningkatan itu menunjukkan ancaman jenayah penipuan dalam talian semakin serius.
“Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang jenayah siber yang menyeluruh dan komprehensif bagi menangani jenayah siber secara lebih berkesan, selaras dengan landskap ancaman keselamatan siber yang semakin rumit dan canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, seramai 10,245 individu ditahan setakat Mei tahun ini dengan majoriti tangkapan membabitkan kes penipuan telekomunikasi, e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud.
Katanya, jumlah tangkapan turut menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu daripada 16,244 pada 2022 kepada 23,753 pada 2025, yang juga merupakan jumlah tertinggi dalam tempoh berkenaan.
“Hal ini mencerminkan fokus penguatkuasaan terhadap sindiket yang paling aktif dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.
RUU Jenayah Siber 2026 yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu.
RUU berkenaan digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997, selain memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan canggih.