20 JUL : Seorang lelaki dirakam percakapan hari ini bagi membantu siasatan kes penyebaran kandungan berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja) terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan tersebut.
“MCMC telah mengambil rakaman percakapan seorang individu pada hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC menekankan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berunsur 3R khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau yang boleh mencetuskan ketegangan awam.
Sehubungan itu, MCMC menyeru semua pihak agar tidak menyentuh isu 3R lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen pilihan raya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
“Elakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara,” katanya.
*Foto: MCMC