22 JUL : Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 Julai hingga 29 Julai 2026.
RON97 kini RM4.20 seliter, RON95 RM3.62 seliter dan diesel pada harga RM4.42 seliter.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.
“Harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16% sepanjang minggu lalu apabila konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata.
“Sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
MoF berkata kenaikan harga minyak mentah turut didorong oleh paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi.
Menurut kementerian itu, pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan.
“Meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan,” menurut MoF.
Meskipun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, kata MoF.
“Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” kata MoF.
Sementara itu, melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.
Kata MoF lagi, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.