23 JUL : Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai calon menteri besar sebagai biadab.
Menurut Aminuddin, kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan kerana jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sudah diperuntukkan menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
“Saya juga nak tegur Asyraf Wajdi yang mana saya merasakan dia seorang pemimpin yang bijaksana, tetapi apabila dia mengatakan bahawa kalau saya kalah di Linggi, Anthony (Loke Siew Fook, calon DUN Chennah) akan jadi menteri besar.
“Saya rasa itu satu kenyataan yang cukup biadab. Dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) telah menyatakan bahawa menteri besar ialah orang Melayu. Saya minta supaya seluruh pimpinan UMNO menegur pemimpin biadab ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen di DUN Linggi, hari ini.
Sebelum ini, Asyraf mempersoalkan calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada PH sekiranya Aminuddin tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau turut membangkitkan kemungkinan Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengisi jawatan berkenaan.
Aminuddin berkata, gurauan seperti itu boleh mengundang salah tafsir selain menyentuh perkara berkaitan institusi negeri.
“Bagi saya tidak sepatutnya berlaku dalam pilihan raya bergurau seperti itu, boleh bergurau tetapi biarlah kena pada tempatnya.
“UUTKNS tidak menyatakan bahawa seorang Cina boleh jadi menteri besar. Saya harap kebidaban ini boleh dihentikan, tegur-tegurlah pimpinan dan jaga mulut ketika pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menggesa Asyraf memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta rakyat negeri ini.
“Kita kata kita hormat Islam dan Raja, tetapi kita langgar. Saya mohon sungguh-sungguh kepada Asyraf Wajdi supaya tidak mengulanginya,” katanya.
