24 JUL : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan peraturan berkaitan kenyataan awam oleh penjawat awam bukan dasar baharu, sebaliknya sudah berkuat kuasa sejak 1993.
JPA memaklumkan Surat Edaran bertarikh 19 Jun 2025 dikeluarkan bagi memperjelas pelaksanaan Subperaturan 19(1) serta 19(2) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A.) 395/1993].
Menurut kenyataan itu, surat edaran berkenaan hanya memberi penjelasan terhadap pelaksanaan peraturan sedia ada mengikut perkembangan komunikasi digital termasuk penggunaan media sosial.
JPA berkata, peraturan tersebut bertujuan memastikan penyampaian maklumat berkaitan urusan kerajaan dibuat secara tepat, bertanggungjawab serta mematuhi tatacara ditetapkan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan penyampaian dasar kerajaan kekal jelas, konsisten serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
JPA turut menegaskan kerajaan menghormati hak setiap individu menyuarakan pandangan selaras Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkuat kuasa.
Bagaimanapun, hak berkenaan perlu digunakan secara bertanggungjawab dan tidak boleh disalah guna bagi menyebarkan fitnah, fakta tidak benar atau melakukan perbuatan bercanggah dengan undang-undang.
Menurut kenyataan itu, penjawat awam juga tertakluk kepada peraturan perkhidmatan, undang-undang serta Aku Janji sepanjang menjalankan tugas.
JPA berkata, keseimbangan antara hak dengan tanggungjawab menjadi asas penting dalam membentuk perkhidmatan awam profesional, berintegriti serta terus diyakini rakyat.