25 JUL : Keberkesanan persefahaman dijalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanya akan terjawab menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hubungan kedua-dua gabungan semakin longgar hanyalah pandangan peribadi.
“Itu pandangan beliau tetapi kami mempunyai persefahaman yang penting dan kita akan lihat keputusannya pada 1 Ogos nanti.
“Apa pun telahan yang dibuat beliau dan tanggapan itu adalah hak beliau tetapi kami sudah membina keserasian dan kita akan terjemahkan keserasian ini dengan keputusan yang akan sama-sama lihat pada 1 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Lukut, hari ini.
Presiden UMNO itu mengulas kenyataan Muhyiddin sebelum ini yang mendakwa hubungan BN-PN semakin longgar susulan ‘pertembungan’ kenyataan pimpinan kedua-dua gabungan itu.
Mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kononnya manifesto BN meniru manifesto PH, Ahmad Zahid menyifatkan isu itu tidak wajar dijadikan polemik politik.
Beliau menjelaskan manifesto BN Negeri Sembilan dibangunkan sejak sekian lama serta sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa.
“Tidak timbul soal ‘copy-paste’ kerana daripada 2004 hingga 2018 manifesto itu sudah kami garap dan ini dilakukan untuk menambah baik daripada apa yang telah sedia ada.
“Kita tidak mahu apa yang mereka lakukan di Johor tidak dianggap sebagai ‘copy-paste’, tetapi apabila kami melakukannya pula dituduh sedemikian,” katanya.
