3 OGOS : Kedudukan DAP sama ada kekal atau sebaliknya dalam Kerajaan Perpaduan akan ditentukan ketika Persidangan Kebangsaan DAP, 16 Ogos ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata keputusan akan dibuat oleh kira-kira 4,000 perwakilan DAP.
“Kita ada membahaskan perkara ini tapi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) tidak membuat apa-apa pendirian kerana yang penting adalah perwakilan kita kena buat keputusan itu.
“Kita tak nak ada apa-apa pendirian untuk memandu keputusan perwakilan. Perwakilan ada kebebasan mutlak untuk membuat keputusan mereka. Mereka akan diberikan kertas undi untuk mengundi sama ada kekal atau tidak (dalam kerajaan).
“Jadi, CEC membuat keputusan supaya kita tidak mengambil satu pendirian rasmi. memang kita ada macam-macam pandangan dalam CEC tapi itu adalah pandangan peribadi anggota-anggota CEC,” katanya
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat CEC, hari ini.
DAP berada dalam Pakatan Harapan bersama PKR dan Amanah yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
Mengulas lanjut, Anthony menegaskan keputusan untuk DAP duduk dalam kerajaan juga tidak ditentukan sendiri oleh pimpinan sebaliknya dibuat perwakilan secara kolektif.
“Keputusan itu bukan ditentukan oleh saya walaupun saya Setiausaha Agung, Gobind Singh Pengerusi…nak kekal atau tidak. Tetapi perwakilan yang buat keputusan sebagai keputusan kolektif,” katanya.