Jerebu:Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan pindah ke PICC
27 OGOS : Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini dipindahkan dari Dataran Merdeka ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) susulan keadaan jerebu ketika ini.
Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 memaklumkan keputusan itu dibuat sebagai langkah penyesuaian bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan tetamu serta orang ramai, selain menjamin kelancaran majlis.
“Pemindahan lokasi ini tidak menjejaskan pengisian dan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026, sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selesa,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Majlis berkenaan dijadualkan bermula jam 9.30 malam.
Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus memantau keadaan jerebu serta perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa.
Sementara itu, keputusan mengenai pelaksanaan acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan semasa serta nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap situasi terkini jerebu serta mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan melalui saluran rasmi KKM,” menurut jawatankuasa itu.
*FOTO ARKIB : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA