1 SEPT : Pelarasan kuota BUDI MADANI bagi RON95 dan Diesel yang dinaikkan semula kepada 300 liter sebulan dilaksanakan secara automatik mulai, hari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata pelarasan itu melibatkan semua penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), tertakluk kepada kelayakan masing-masing.
“Seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala lebih 700,000 pengguna turut layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter,” menurut MoF dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan semula kuota berkenaan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan ketika menyampaikan Amanat Perdana Ambang Merdeka 2026.
Sementara itu, MoF berkata bagi lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, mereka boleh memohon tambahan kelayakan sebanyak 100 liter sebulan.
“Dengan tambahan itu, jumlah kelayakan bulanan mereka boleh ditingkatkan daripada 300 liter kepada 400 liter,” kata kementerian itu lagi.
Mengulas lanjut, MoF berkata bagi mana-mana pemilik pikap dan jip yang layak namun belum memohon tambahan itu boleh berbuat demikian melalui portal BUDI MADANI.
“Bagi pemilik pikap dan jip yang telah diluluskan tambahan 100 liter sebelum ini, kelayakan mereka akan diselaraskan secara automatik kepada 400 liter mulai, hari ini,” menurut MoF.
Kementerian itu berkata pengembalian had kelayakan bulanan itu mengambil kira pengurusan bekalan semakin tersusun, penguatkuasaan lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta kemampuan kewangan kerajaan.
Langkah itu katanya, turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk urusan harian, selain peniaga kecil yang bergantung pada kenderaan untuk mencari rezeki.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan,” kata MoF.