5 SEPT : Kerajaan akan mencadangkan pengisytiharkan darurat di kawasan terjejas jerebu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras 400.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pengurusan jerebu negara.
Katanya, ketika ini tiga kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, manakala Serian masih berada dalam kategori berbahaya.
“Daripada 68 stesen ukur pencemaran udara, hanya tiga stesen mencatatkan udara sangat tidak sihat.
“Tiga stesen yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat adalah di Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman, manakala satu stesen iaitu di kawasan Serian masih mencatatkan bacaan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Sekolah Angkat Malaysia MADANI di Kampung Basung, hari ini.
Dalam pada itu, Arthur berkata kerajaan memberi tumpuan kepada operasi pembenihan awan di kawasan terjejas bagi membantu mengurangkan tahap jerebu.
Mengulas keadaan Serian yang diisytiharkan darurat semalam, beliau berkata operasi pembenihan awan akan diteruskan bagi mengurangkan jerebu di kawasan berkenaan.
Selain itu, Arthur berkata operasi pembenihan awan di beberapa kawasan Sarawak serta utara Semenanjung termasuk Kedah dan Perlis menunjukkan hasil positif apabila hujan direkodkan sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.
“Kerajaan sudah menerima kebenaran bertulis daripada Kerajaan Indonesia bagi membolehkan aset udara memasuki ruang udara republik itu untuk tujuan operasi pembenihan awan.
“Kita sudah melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak dan bersedia untuk meluaskan operasi menggunakan aset udara merentas sempadan,” katanya.