5 SEPT : Seorang wanita Nepal berusia 64 tahun ditemui masih hidup hari ini selepas terperangkap dalam rumahnya yang ditimbus lumpur tebal selama 10 hari akibat banjir besar.
Chandrika Shrestha diselamatkan anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal ketika operasi pembersihan dijalankan di daerah Nuwakot.
“Pasukan polis menemukannya ketika mereka membersihkan kawasan berkenaan. Dia diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” kata Timbalan Superintenden Polis, Iqbal Hawari, lapor AFP.
Anggota penyelamat dilaporkan bersorak ketika wanita itu, yang seluruh tubuhnya dipenuhi lumpur berjaya dikeluarkan dari rumah berkenaan.
Rakaman video dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian daripada rumah mangsa kelihatan, manakala tingkat bawah bangunan itu tertimbus sepenuhnya di bawah timbunan lumpur.
Penemuan Shrestha berlaku ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos.
Pasukan tindak balas kecemasan terus digerakkan bagi mencari mangsa yang mungkin masih terselamat selepas aliran deras air dan lumpur melanda kawasan berkenaan susulan runtuhan glasier serta batu.
Sebelum ini, anggota penyelamat turut berjaya mengeluarkan seorang lelaki warga China yang ditemui masih hidup di dalam terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa.
Menurut agensi bencana Nepal, sebanyak 1,344 mayat ditemukan setakat ini, manakala kira-kira 5,000 orang masih dilaporkan hilang.
Di China pula, media melaporkan 31 kematian dengan 531 individu masih hilang.
Jumlah korban di kedua-dua negara kini mencecah 1,375 orang, manakala lebih 5,500 masih belum ditemukan.