8 SEPT : Sebuah helikopter yang membawa doktor dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Sarawak, hari ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pihaknya menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service).
“CAAM mengesahkan sebuah helikopter BO-105, nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Sarawak, hari ini.
“Helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara dengan lima orang berada di dalamnya termasuk juruterbang,” menurut kenyataan CAAM.
CAAM turut memaklumkan siasatan berhubung insiden itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sebentar tadi tular beberapa keping gambar dan klip video yang memaparkan helikopter berwarna kuning dengan lambang bulan terhempas.
Pada klip video yang disebarkan, helikopter berkenaan dilihat terbakar dan berasap sebelum terbang semakin rendah.