Lebih 5,000 kes buli tapi mungkin bukan gambaran sebenar
6 OKT : Rekod 5,681 kes buli di sekolah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia berikutan masih ada kes buli dan salah laku disiplin yang tidak dilaporkan termasuk apabila pihak pentadbiran sekolah memilih untuk menutup kejadian berkenaan bagi menjaga imej serta reputasi institusi masing-masing, katanya.
“Masalahnya kadang-kadang dilindungi kerana tak mahu imej sekolah itu buruk, mahu jaga reputasi sekolah, beri laporan yang baik-baik sahaja hakikatnya anak-anak di sekolah itu berasa terdera, tertekan masuk ke sekolah.
“Jadi jangan sembunyikan, kerana yang rosak anak ini, pendekatan tak betul. Saya setuju dalam kes-kes seperti ini, apa-apa jua pun alasan, tindakan harus diambil secara cepat dan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai faktor kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan telah ditetapkan.
Anwar berkata, 5,681 kes yang direkodkan itu melibatkan pelbagai bentuk buli termasuk fizikal, lisan, bukan lisan dan siber.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru ibu bapa supaya bersama-sama memikul tanggungjawab dalam memastikan pendidikan, kebajikan dan keselamatan anak-anak tidak hanya diserahkan kepada pihak sekolah.
“Soal pemantauan, asrama, audit keselamatan, kapasiti penyeliaan murid, kaunseling, isu-isu mental, inisiatif kesejahteraan, itu semua telah dilakukan (Kementerian Pendidikan). Adakah mencukupi? Saya fikir belum, kerana hal ini begitu mencabar dan perlu melibatkan semua pihak.
“Mengapa harus ada ibu bapa yang hampir tidak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak mereka? Kalau di asrama ada kawalan yang lebih ketat, tetapi tanpa kesedaran ibu bapa, bagaimana boleh ibu bapa sampai tidak ambil tahu sama ada anak balik (rumah) atau tidak sampai 11…12 malam?,” katanya.
Anwar berkata, berdasarkan rekod beberapa kes buli, hampir semua pelajar yang terlibat meluahkan kekecewaan kerana tidak mendapat layanan baik daripada ibu bapa.
“Saya tidak bermaksud mahu menyalahkan ibu bapa tapi maknanya tanggungjawab keluarga, unit keluarga itu mesti menjadi asas. Negara tertegak dengan unit keluarga yang kukuh. Jadi dalam kes ini, janganlah kita hanya merasa kesal setelah ada laporan, kita harus bersama-sama selesaikannya.
“Saya harap media juga dapat melakukan peranan dalam menggesa ibu bapa untuk lebih bertanggungjawab. Banyak kajian menunjukkan ada ibu bapa di kawasan bandar yang sibuk atau mengalami tekanan hidup sehingga mengabaikan anak-anak mereka,” kata Anwar lagi.
Menjawab soalan tambahan Saifuddin mengenai tindakan kerajaan bagi memastikan isu buli tidak dibebankan sepenuhnya kepada warga pendidik, Anwar berkata pelbagai langkah terus diperkukuh termasuk menambah guru bimbingan dan kaunseling serta pembantu warden di asrama.
Beliau berkata PDRM turut dibenarkan memasuki kawasan sekolah secara rasmi pada bila-bila masa dengan berpakaian seragam, selain 400 warden dilatih dalam kemahiran dan sokongan psikososial.
“Kuasa kepada pengetua, guru besar dan jawatankuasa disiplin juga diluaskan malah kuasa disiplin boleh diturunkan kepada guru.
“Kita juga menambah baik sistem disiplin murid, mendengar suara dan masalah murid, melakukan advokasi, menggariskan polisi perlindungan murid sekolah serta melaksanakan saringan minda sihat, ini susulan isu kesihatan mental yang dibangkitkan,” katanya.