7 OKT : Gara-gara cemburu, seorang pelajar wanita berusia 19 tahun dipercayai dibunuh teman lelakinya dalam sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih, awal pagi Selasa.
Mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik di tingkat bawah rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada teman lelaki mangsa pada jam 4.32 pagi berhubung kejadian berkenaan.
Polis yang tiba di lokasi kemudian menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Polis menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki yang memaklumkan berlaku pergaduhan dengan teman wanitana di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2, Kuantan.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil. Pemeriksaan pakar forensik Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Ashari memaklumkan kejadian itu dipercayai berlaku akibat cemburu.
“Mangsa dan suspek sudah kenal antara satu sama lain lebih kurang setahun dengan kejadian dipercayai akibat cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya
Susulan kejadian, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di lokasi dan suspek kini direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.
Polis turut mengambil keterangan rakan serumah mangsa bagi melengkapkan siasatan dan mengenal pasti kejadian sebenar yang berlaku sebelum mangsa ditemukan maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu,pPolis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebabkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengesahkan sebagai M Elisa Jonova, 19, pelajar Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas).
JPPKK menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu.