8 OKT : Tiga disahkan maut dengan 36 lagi cedera selepas dua lapangan terbang di Arab Saudi menjadi sasaran serangan berasingan pada Selasa dan Rabu.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi memaklumkan, dua insiden itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh.
Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha mengorbankan dua individu melibatkan warga Maghribi dan Algeria, selain mencederakan 28 orang.
GACA berkata, mangsa cedera termasuk dua rakyat Saudi serta penduduk warga Bangladesh dan Filipina dengan sebahagia dalam keadaan serius.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pula, seorang warga Sudan terbunuh manakala lapan lagi cedera, termasuk lima rakyat Saudi, dua warga Mesir dan seorang rakyat Pakistan.
Kesemua mangsa cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kedua-dua serangan turut menyebabkan kerosakan struktur, manakala pihak berkuasa Saudi terus menyelaras tindakan dengan agensi keselamatan berkaitan bagi menilai kerosakan dan memastikan keselamatan penumpang serta pekerja lapangan terbang.
Kumpulan Houthi di Yemen pada Rabu kemudiannya mendakwa bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan itu.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata kumpulan itu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid menggunakan dron, manakala serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Abha menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan Yemen memaklumkan Houthi turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Aden menggunakan peluru berpandu balistik dan dron sarat bahan letupan pada awal Rabu.
Satu peluru berpandu dilaporkan jatuh berhampiran landasan hanya beberapa minit sebelum sebuah pesawat dari Kaherah dijadualkan mendarat.
Lapangan Terbang Antarabangsa Aden merupakan pintu masuk antarabangsa utama bagi kawasan Yemen yang tidak dikuasai Houthi.
Ketegangan di Yemen meningkat sejak beberapa hari lalu, khususnya di kawasan sekitar Selat Bab el-Mandeb, laluan perkapalan strategik yang semakin penting bagi eksport tenaga.
Keadaan itu berlaku ketika konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran turut menjejaskan perdagangan melalui Selat Hormuz.
Minggu ini, pasukan kerajaan Yemen dengan sokongan serangan udara pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan balas bagi merampas semula kawasan strategik berhampiran selat berkenaan dan bandar Mocha.
Kawasan itu ditawan Houthi pada September, namun masih belum jelas sama ada pasukan kerajaan mampu mengekalkan kemaraan mereka.
Arab Saudi mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yemen menentang Houthi sejak Mac 2015.
Houthi sebelum ini turut beberapa kali menyasarkan infrastruktur di Arab Saudi, termasuk lapangan terbang, loji penapisan minyak dan saluran paip.
