11 OKT: Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan atau Car Free Zone (CFZ) di Banda Hilir, Melaka tidak boleh dilihat hanya dengan sebelah mata oleh pemimpin DAP khususnya di negeri itu.
Banyak manfaat hasil pelaksanaan CFZ yang mula diperkenalkan secara rasmi pada 19 Ogos 2023 dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah mengkaji secara menyeluruh baik buruk fasa pelaksanaan CFZ
DAP yang pernah berada di dalam kerajaan negeri Melaka turut melihat CFZ sebagai satu idea yang baik serta memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada penduduk negeri tetapi kepada pelancong – sumber penting ekonomi kepada Negeri Hang Tuah itu.
Malangnya apabila tidak bersama kerajaan dan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), DAP Melaka mula menjadikan CFZ bahan kempen untuk memburukkan kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof.
Walaupun Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menyatakan bahawa parti itu tidak menolak pembangunan pelancongan atau konsep CFZ di Banda Hilir secara total, namun apabila isu ini dimainkan ketika PRN negeri, sudah jelas niat mereka.
Bukan sahaja soal CFZ tetapi Jejantas Tun Teja turut jadi bahan mereka menyalahkan kerajaan negeri atas alasan kononnya pembaziran serta kos yang tidak munasabah.
Dalam isu CFZ, DAP membantah pelaksanaan CFZ selama 24 jam penuh kerana ia didakwa membebankan peniaga kecil, menimbulkan kesesakan trafik, dan mengelirukan pelancong.
Sebaliknya PH khususnya DAP Melaka mencadangkan agar tempoh CFZ dikaji semula dan dipendekkan kepada kira-kira 6 jam pada waktu yang lebih sesuai kononnya mengambil kira faktor cuaca, waktu puncak, serta keperluan peniaga.
Menariknya, DAP Melaka menjanjikan perkara tersebut sekiranya diberi mandat mentadbir negeri sekiranya menang pada PRN Melaka, 14 November nanti.
Daripada melihat dengan sebelah mata, wajar DAP Melaka membuka mata seluas-luasnya melihat manfaat yang diperolehi ekoran pelaksanaan CFZ baik kepada peniaga dan pelancong.
Untuk rekod, CFZ beroperasi secara tetap selama 55 jam berturut-turut setiap hujung minggu, bermula jam 6:00 petang hari Jumaat sehingga jam 1:00 pagi hari Isnin. Tempoh ini juga sering dilanjutkan sekiranya terdapat cuti umum atau cuti persekolahan.
Pengerusi Pesatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pahlawan Walk Melaka, Rahim Abu Said ketika ditemubual Melaka Hari Ini, memberitahu, CFZ memberi manfaat besar keada 200 peniaga yang bernaung di bawah persatuan itu.
Kesan CFZ, menunjukkan jumlah pelanggan dan jualan mereka bertambah kerana orang ramai terutama pelancong lebih mudah membeli belah tanpa gangguan kenderaan di laluan zon berkenaan.
Apa juga cadangan sama ada memendekkan waktu dan memansuhkan pelaksaan CFZ akan menjejaskan perniagaan mereka sekaligus menjejas kehadiran pelancong ke kawasan itu terutama yang ingin berbelanja atau menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual.
Sebenarnya, dengan ujudnya CFZ, kawasan pelancongan ikonik seperti Bangunan Merah Stadthuys dan Jonker Walk menjadi lebih selamat untuk pejalan kaki.
Pelancong boleh berjalan-jalan, bersantai, dan mengambil gambar dengan selesa tanpa gangguan trafik atau risiko keselamatan jalan raya.
Menyekat kenderaan bermotor di kawasan itu dapat mengurangkan getaran dan pencemaran udara yang boleh menjejaskan struktur bangunan bersejarah di Banda Hilir sekaligus membantu mengekalkan status Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
CFZ juga membantu menurunkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan pelepasan karbon, selaras dengan matlamat mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih, kurang pencemaran bunyi, dan mesra alam.
Kawasan tersebut menjadi lebih hidup pada waktu malam dengan aktiviti riadah, beca berlampu, serta limpahan ekonomi bagi kluster peniaga tertentu seperti di pasaran malam/Uptown.
Malah, sebahagian peniaga kecil kini melihat ia sebagai kelebihan jangka panjang kerana peningkatan bilangan pengunjung berjalan kaki.
Isu aliran trafik yang dibangkitkan DAP seperti penutupan jalan utama di Banda Hilir menyebabkan aliran trafik terpaksa dilencongkan ke laluan alternatif, kesesakan lalu lintas di kawasan pinggir zon bebas kenderaan pada waktu-waktu puncak memang tidak dinafikan.
Bagaimanapun, MBMB tidak menutup telinga terhadap aduan berhubung isu ini bagi menangani rungutan peniaga, isu kesesakan, dan masalah logistik penduduk sekitar.
Antara tindakan diambil adalah penyurainan dan erubahan aliran trafik berkala, Zon Pelonggaran Trafik Berjadual seperti mengubah hala laluan di sebahagian Jajaran Jalan Temenggong dan Jalan Chan Koon Cheng) bagi mengalirkan kenderaan keluar dari zon sesak.
MBMB juga bekerjasama erat antara Jabatan Penguatkuasaan MBMB dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperkukuh untuk menempatkan petugas di persimpangan kritikal bagi memastikan kelancaran kenderaan selain penyediaan kemudahan parkir berpusat.
Selain membuka dua belah mata, pemimpin DAP Melaka harus menyedari CFZ memberi limpahan ekonomi kepada 300 peniaga kecil dan terus menghidupkan Banda Hilir dengan program-program santai selain penjualan kraftangan, makanan tradisional, dan produk pelancongan.
Jangan hanya segelintir yang terjejas dan tidak mendapat manfaat daripada pelaksanaan CFZ ini, DAP memilih memihak kepada mereka dan sanggup mengkritik kerajaan negeri serta pimpinan semata-mata mahu meraih laba politik.