KENYATAAN MEDIA
YANG TERAMAT MULIA UNDANG YANG EMPAT DAN YANG TERAMAT MULIA TUNKU BESAR TAMPIN
BAHAWASANYA Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu telah bertitah melalui Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 14 Oktober 2026 bersamaan 3 Jamadilawal 1448H. Titah itu menyeru semua pihak dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja. Maka adalah kami YTM Undang Yang Empat dan YTM Tunku Besar Tampin dengan penuh takzim menjunjung kasih dan menyambut baik titah seruan tersebut.
BAHAWASANYA Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa. Ia juga hendaklah dilakukan secara beradab dan beradat, dalam semangat syura dan musyawarah. Penyelesaian itu mesti berlandaskan aturan adat, sejarah dan kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) sebagai sumber muktamad yang mengatur urusan takhta Negeri Sembilan. Semua pihak wajib menghormatinya tanpa kecuali.
BAHAWASANYA kami juga menyambut baik titah tersebut yang menyeru pihak luar agar tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta. Seruan ini selaras dengan Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa pertikaian tentang hak naik takhta sesebuah negeri hendaklah diputuskan hanya oleh pihak berkuasa dan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perlembagaan negeri itu. Bagi Negeri Sembilan, pihak berkuasa itu ialah YTM Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS. Kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini. Mereka hendaklah menghormati kedaulatan Perlembagaan negeri.
BAHAWASANYA kami juga menegaskan sekali lagi, Proklamasi di bawah Perkara 10 UUTKNS telah ditandatangani dan dimeteraikan oleh kami selaku Undang Luak yang sah. Ia kemudian disempurnakan dengan tandatangan YAB Menteri Besar pada 3 Ogos 2026. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), melalui Keputusan Bil. 6 Tahun 2026 bertarikh 15 September 2026, telah menerima Proklamasi itu sebagai sempurna menurut Perkara 10(2). MMKN juga secara kolektif mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakannya serta-merta. Seyogia diingatkan bahawa Perkara 10(2) tidak mensyaratkan Proklamasi diwartakan. Mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menambah syarat pewartaan atau prasyarat lain yang tidak terkandung dalam teks UUTKNS. Pandangan Jabatan Peguam Negara tidak boleh bercanggah dengan peruntukan UUTKNS.
BAHAWASANYA Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menyeru agar ruang dan masa diberikan kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka. Dalam pentadbiran negeri, pihak berautoriti itu ialah YAB Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau. MAKA kami selaku YTM Undang Yang Empat bersabda agar YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri menurut arahan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Mereka juga hendaklah melaksanakan Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6 Tahun 2026 tanpa berlengah. Kepatuhan sedemikian ialah cara menjunjung titah seruan agar urusan ini diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa.
BAHAWASANYA kami dan Kerajaan Negeri sependapat bahawa, selewat- lewatnya selepas 15 September 2026, Tuanku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan. Oleh itu, dengan penuh hormat, Pembesar Memerintah menyeru Tuanku Muhriz agar berhenti melaksanakan fungsi dan kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Besar. Dalam pada itu, kami juga menyahut titah KDYMM Raja-Raja Melayu agar ruang perundingan dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan. Kami menyambut baik sebarang ruang perundingan dengan Tunku Muhriz berkenaan urusan penurunan takhta secara baik, dalam semangat kekeluargaan dan tanpa merendah atau menghina mana-mana pihak. Krisis takhta ini tidak wajar berpanjangan sehingga menggugat perjalanan kuasa pentadbiran negeri. Ia juga tidak wajar menjejaskan kesejahteraan rakyat, yang telah memberikan mandat besar kepada wakil rakyat pilihan mereka.
BAHAWASANYA kami juga menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya anak-anak buah, buapak dan Lembaga yang sentiasa bersama dan menyokong teguh ketetapan kami, agar bertenang dan menjaga tutur kata. Rakyat juga diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang memecah belahkan.
Akhir kalam semoga Allah SWT melimpahkan kebijaksanaan mengatasi emosi dan muafakat mengatasi perselisihan, demi kepentingan Negeri Sembilan, kesejahteraan rakyat dan kemuliaan institusi diraja. Ibarat kata perbilangan, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ dan ‘usah dikusut yang telah selesa’.
Sekian disabdakan.
YANG TERAMAT MULIA UNDANG YANG EMPAT DAN
YANG TERAMAT MULIA TUNKU BESAR TAMPIN