16 OKT : Mengagihkan kuih, bersarapan bersama penduduk hingga menyampaikan sumbangan beras menjadi antara jambatan silaturahim Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Baginya, aktiviti sebegitu bukan sekadar mengisi masa bersama masyarakat, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan dan menyemarakkan semangat kebersamaan sejak dulu.
Menerusi Program Edaran Kuih Bantal dan Kuah Kacang by CM di Kedai Dak Hurai, Tanjung Bidara, pagi ini, Ab Rauf meluangkan masa bersama masyarakat setempat dalam suasana santai.
Beliau berkata, ketika ini tumpuannya adalah untuk bersama-sama penduduk di kawasan yang diwakilinya, selain menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang hari pengundian.
“Saya waktu dan ketika ini, saya perlu memberikan perhatian sepenuhnya pada dalam kawasan saya ini kerana waktu inilah kita dapat bersama-sama dengan mereka, dengan satu semangat untuk menuju kepada hari pilihan raya.
“Dan saya lihat semangat kebersamaan dalam penduduk Tanjung Bidara ini amat baik. Mereka menanti dan dapat memanjangkan silaturahim sesama dengan masyarakat dalam pelbagai kaedah hubungan itu dijalankan, sama ada minum pagi, makan tengah hari, minum petang, jual kuih, bagi beras.
“Semua itu adalah satu jambatan silaturahim yang dibuat bagi kita dapat bersama-sama menunjukkan kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Edaran Kuih Bantal dan Kuah Kacang by CM di Kedai Dak Hurai, Tanjung Bidara, pagi ini.
Menurut Ab Rauf, hubungan dengan penduduk tidak terhad kepada pertemuan rasmi, malah turut diperkukuh menerusi aktiviti harian yang membuka ruang untuk masyarakat berkumpul dan beramah mesra.
Baginya, kebersamaan itu menjadi asas penting untuk terus mendekati masyarakat serta memahami kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.
Malah, beliau tidak berselindung menyatakan kerinduannya terhadap penduduk Tanjung Bidara yang sentiasa dekat di hatinya.
“Memang saya rindu dengan orang Tanjung Bidara. Tanjung Bidara sentiasa di hati. Mana lagi, Melaka ler!” katanya.
