16 OKT : Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa berlaku penganiayaan politik dan pendakwaan terpilih sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau berkata, undang-undang perlu dikuatkuasakan secara adil dan konsisten tanpa mengira fahaman politik.
“Pada pandangan saya, apa yang telah berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah penganiayaan politik. Ia adalah pendakwaan secara terpilih. Saya fikir itu tidak adil.
“Jadi, jika anda ingin mendakwa sesiapa sahaja, anda mestilah adil dan anda mesti menguatkuasakan undang-undang tanpa memikirkan fahaman parti politik. Ia mesti konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab forum ‘Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation’ sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin mahasiswa dari Malaysia dan 53 negara lain untuk bertukar pandangan mengenai kepimpinan, transformasi dan masa depan generasi muda.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menegaskan tiada institusi atau agensi kerajaan sepatutnya digunakan sebagai senjata demi kepentingan politik mana-mana pihak.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin yang memegang tanggungjawab perlu menjaga amanah diberikan termasuk menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, sebagai pemimpin beragama Islam, setiap perbuatan mengkhianati amanah tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
“Sebagai seorang pemimpin Muslim, jika anda mengkhianati amanah itu, sama ada rasuah, penyalahgunaan kuasa, anda mungkin tidak akan menjawabnya hari ini, tetapi sebagai seorang Muslim saya percaya anda akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah,” katanya.
