17 OKT : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan video Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasuiton Ismail mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang kembali tular di media sosial adalah rakaman lama, bukannya kejadian baharu.
JPN dalam kenyataan memaklumkan perkara itu sudah dijelaskan secara rasmi pada 25 Oktober 2023 dengan menegaskan rakaman berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.
Menurut jabatan itu, tindakan menyebarkan semula rakaman lama tanpa konteks sebenar boleh menimbulkan persepsi mengelirukan serta mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“JPN ingin menegaskan bahawa video berkenaan bukan kejadian baharu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023,” menurut kenyataan itu, semalam.
JPN menjelaskan pihaknya bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
Sehubungan itu, penglibatan Saifuddin Nasution dalam upacara berkenaan perlu dilihat berdasarkan konteks majlis rasmi JPN pada 2023 serta pelaksanaan fungsi jabatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPN turut merujuk pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berkaitan aspek hukum syarak yang relevan sebagai panduan kepada masyarakat dalam memahami isu berkenaan.
Menurut JPN, perkara itu perlu dinilai berdasarkan fakta serta penjelasan pihak berautoriti, bukannya andaian atau tafsiran yang boleh mengelirukan.
“JPN menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks sehingga mencetuskan polemik yang tidak berasas,” menurut JPN lagi.
Justeru, JPN menggesa orang ramai, khususnya pengguna media sosial supaya menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum berkongsi kandungan berkenaan.
“Hentikan tindakan mengitar semula isu lama dengan naratif yang mengelirukan. Hormati fakta, rujuk penjelasan rasmi dan jangan jadikan media sosial medan mencetuskan salah faham dalam masyarakat,” kata JPN.
JPN menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab secara profesional, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa serta kepentingan rakyat.
