22 OKT : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menggantung notis pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 20 Oktober lalu.
Hakim, Datuk Azizan Md Arshad membenarkan permohonan PN supaya notis berkenaan digantung sehingga permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan itu diputuskan.
Menurut Azizan , mahkamah mendapati terdapat keadaan luar biasa yang membolehkan penangguhan diberikan terutama mengambil kira risiko terhadap aktiviti politik PN dan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Mahkamah perlu menimbang kemungkinan berlakunya kemudaratan yang lebih besar, sama ada penangguhan itu dibenarkan atau ditolak,” katanya.
PN diwakili peguam, Tan Sri Azhar Azizan Haru, manakala Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan.
Pada 22 September lalu, RoS mengeluarkan notis kepada PN sebelum perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu dikeluarkan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Lima pemimpin parti komponen PN kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan berkenaan diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selaku pemohon pertama.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People’s Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.
Dalam permohonan berkenaan PN mendakwa notis berkenaan memberi kesan kepada parti-parti komponennya yang berhasrat bertanding pada PRN Melaka ke-16.
Gabungan itu turut mendakwa kegagalan menggantung atau membatalkan notis sebelum hari penamaan calon akan menjejaskan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.
Menurut gabungan itu, keputusan mahkamah selepas hari penamaan calon tidak akan dapat memulihkan peluang mereka untuk bertanding menggunakan nama dan logo berkenaan.
Selepas mendengar hujahan semua pihak, Azizan sebelum ini membenarkan PN memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap notis itu dan menetapkan pendengaran pada 22 Oktober.
Bagaimanapun, pada 20 Oktober lalu, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal alasan pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Melaka dengan hari pengundian berlangsung pada 14 November.