22 OKT : Aduan dan pandangan rakyat diterima ketika bersarapan bersama menjadi panduan kepada kerajaan negeri untuk menambah baik pentadbiran serta merangka dasar yang dapat meringankan beban masyarakat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan yang sudah lama diamalkan itu membolehkan beliau memahami keperluan rakyat secara langsung, selain menilai maklum balas yang diterima untuk memperbaiki pentadbiran di kawasan yang diwakilinya.
“Saya dapat melihat penerimaan masyarakat terhadap pendekatan kita sebagai yang diberi amanah untuk memimpin mereka. Mereka amat menghargai kerana kita dapat merasakan denyut nadi mereka. Mereka dapat merasakan bagaimana prihatinnya kita terhadap mereka.
“Dalam sarapan pagi itu, mereka boleh meluahkan isi hati mereka, boleh menyatakan masalah mereka dan kita ini sebagai pemandu ke arah pentadbiran kita supaya lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui di Kedai Ghani Nasi Gunting, Masjid Tanah, hari ini.
Menurut beliau, setiap aduan, cadangan dan pandangan yang dikemukakan rakyat diambil kira sebagai panduan untuk menambah baik pentadbiran serta membantu kerajaan negeri merangka dasar yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
“Maklum balas saya terima waktu pagi, mereka datang memberikan aduan, cadangan, pandangan diambil kira supaya menjadi satu panduan dalam menambah baik pentadbiran saya sebagai wakil rakyat kawasan.
“Ia juga membantu saya untuk membuat dasar-dasar dalam kerajaan negeri bagi dapat meringankan beban rakyat daripada suara-suara hati yang kita terima sebab konsep ini kita amalkan dalam konsep Melaka Sayang Rakyat,” katanya.
