25 OKT : Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuat berdasarkan kajian parti terhadap kawasan yang ditandingi.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perubahan calon bukan bermakna beliau menggugurkan penyandang, sebaliknya memberi peluang kepada individu baharu untuk meneruskan perkhidmatan di kawasan berkenaan.
“Saya tidak menggugurkan (penyandang) sebab dewan dah dibubarkan. Jadi kita memilih calon baharu yang boleh meneruskan perkhidmatan kepada rakyat tempatan.
“Ada yang tidak mahu meneruskan lagi jawatan, ada yang pada pandangan kita…kita berikan ruang kepada muka-muka baharu untuk terus memberikan perkhidmatan di kawasan-kawasan yang telah kita membuat kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam ini.
Lapan muka baharu dinamakan bagi dicalonkan pada PRN kali ini melibatkan Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Lendu), Ahmad Norazril Abd Aziz (Rembia), S.Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezlee Pit Sungai (Rambai).
Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka berkata, BN sudah mengumumkan kesemua 21 calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu dan berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan bekerja lebih kuat bagi meraih kemenangan.
“Jadi saya harap mereka yang terpilih sebagai calon ini mestilah bekerja dengan lebih kuat dan mantap supaya pada 14 Oktober nanti, mereka boleh menunjukkan kecemerlangan dalam memenangi kerusi kawasan yang dipertandingkan,” katanya.
Mengulas keyakinan terhadap sokongan rakyat, Ab Rauf berkata, khidmat yang diberikan kerajaan negeri sepanjang penggal lalu menjadi asas untuk meneruskan agenda pembangunan pada penggal akan datang.
“Dalam faktor keyakinan rakyat ni kerana kita telah memberikan khidmat kepada rakyat dalam pelbagai kaedah pentadbiran kerajaan yang turun kepada rakyat dan kita lihat mereka ini masih boleh lagi meneruskan agenda-agenda yang telah kita buat pada penggal yang lepas untuk kita teruskan agenda baharu pada penggal yang baharu nanti,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.