7 NOV : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masih berada di Penjara Kajang meskipun denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya sudah dilunaskan sepenuhnya, menurut firma guaman yang mewakilinya.
Shafee & Co berkata, persiapan untuk memindahkan Najib ke kediamannya di Taman Duta bagi menjalani tahanan rumah sudah dilakukan, malah proses berkenaan dimulakan sebelum Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan meminta pelaksanaannya ditangguhkan sementara.
Dalam perkembangan sama, firma guaman itu mendakwa AGC tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Menurut firma itu, semua syarat yang ditetapkan menerusi pengampunan diraja sudah dipenuhi dan Najib sepatutnya segera dipindahkan ke kediamannya bagi menjalani baki hukuman.
“Kenyataan AGC sendiri mengakui bahawa Perintah Mahkamah memperuntukkan pelepasan anak guam kami untuk menjalani tahanan rumah di kediamannya.
“Itulah yang dikehendaki oleh Perintah Pengampunan dan Perintah Mahkamah. Itulah yang wajib dilaksanakan serta sudah pun dilaksanakan.
“Dakwaan AGC bahawa wujud kekeliruan berhubung perintah Mahkamah Tinggi hari ini tidak berasas, malah kekeliruan diwujudkan oleh agensi itu sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Shafee & Co turut mempersoalkan keputusan AGC menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah itu sedangkan kediaman Najib di Taman Duta sudah diwartakan sebagai penjara.
Katanya, pemindahan Najib ke kediaman berkenaan tidak bermaksud beliau dibebaskan daripada tahanan yang sah di sisi undang-undang, sebaliknya hanya membabitkan pertukaran lokasi tahanan.
“Tidak logik bagi AGC mengesyorkan anak guam kami perlu kekal di Penjara Kajang untuk AGC mendapatkan penjelasan, pada hari sama Warta mengisytiharkan kediamannya (Najib) sebagai penjara.
“Walau apa pun kebimbangan AGC mengenai kesan Perintah Pengampunan, kebimbangan itu bukan alasan untuk menahan anak guam kami di satu penjara dan bukan di penjara yang satu lagi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta sebagai penjara mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995.
Pengisytiharan yang disiarkan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan P.U. (B) 456/2026 itu membabitkan kawasan seluas 4,558.975 meter persegi.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.
Sebelum ini, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas sabitan dalam kes SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.