9 NOV : Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mempersoalkan ketelitian penyediaan dokumen rasmi mahkamah berkaitan pelaksanaan perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa mempunyai kecacatan ketara.
Beliau berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak yang menyediakan dokumen berkenaan meneliti setiap butiran dengan cermat, terutama membabitkan penggunaan istilah dan peruntukan undang-undang.
“Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti. Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Kecacatan pada dokumen Order of Discharge Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pengamal undang-undang, khususnya berhubung ketepatan istilah serta peruntukan undang-undang yang digunakan.
Dokumen berkenaan dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas Najib melunaskan denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah sesuai pengampunan bersyarat diterima pada 18 September lalu.
Namun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Sultan Ibrahim itu.
Menurut AGC, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
AGC berkata, terdapat dua interpretasi perlu diberikan penelitian lanjut iaitu pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda dan hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Tindakan itu mengundang teguran Istana Negara yang menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membabitkan Najib menjurus kepada tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim bertitah, semua syarat yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi, justeru tiada alasan untuk mempertikaikan pelaksanaannya.
Dalam pada itu, laporan itu turut menyebut Mohd Dusuki enggan mengulas soal sesi menghadap Sultan Ibrahim namun portal itu mendakwa sumber menjangkakan ia akan berlangsung, esok.
Sementara itu, ketika ditanya BH mengenai sesi menghadap Sultan Ibrahim bagi menjelaskan persoalan perundangan susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Najib, Mohd Dusuki enggan mengulas lanjut.
Bagaimanapun, sumber memberitahu sesi berkenaan dijangka berlangsung Selasa ini.