24 NOV : Perbezaan pendirian politik antara parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan tidak menjadi penghalang kepada kelancaran pentadbiran negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kematangan politik dalam kalangan pemimpin membolehkan mereka mengasingkan perbezaan parti daripada urusan pentadbiran, khususnya apabila membabitkan kepentingan nasional.
“Apabila mengurus kerajaan, kita ketepikan perbezaan-perbezaan itu dan apabila kita membincangkan perkara-perkara yang terkait dengan isu nasional, kita sangat profesional dan tidak sekalipun ada perbezaan pendapat,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Konvensyen Nasional 2026 Parti Amanah Negara (Amanah), Ahad lalu yang meluluskan usul supaya parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa kerjasama dengan BN.
Usul berkenaan mendapat sokongan hampir keseluruhan perwakilan, namun Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan ketetapan itu masih berupa saranan parti yang akan dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk pertimbangan dan keputusan muktamad.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini berada di Indonesia bagi lawatan kerja lima hari yang bermula di Bali semalam, sebelum meneruskan agenda lawatan di Jakarta.