25 NOV : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC susulan dakwaan kegagalan syarikat teknologi itu mengambil tindakan terhadap penyebaran semula kandungan palsu berbaur fitnah oleh penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di YouTube.
Saman itu difailkan pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpurmenerusi Tetuan Sitham & Associates, dengan pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Menurut Bernama, dalam pernyataan tuntutan, MCMC mendakwa Google gagal memenuhi kewajipan statutori di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya apabila membiarkan kandungan yang dipertikaikan terus disebarkan di platform berkenaan.
Menurut plaintif, pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu sebelum mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri dan boleh diakses menerusi YouTube.
Susulan itu, MCMC mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober lalu, namun mendakwa syarikat berkenaan gagal mengambil langkah sewajarnya untuk menyiasat serta menilai kandungan terbabit secara bebas.
Malah, Google didakwa tidak bertindak segera untuk mengalih keluar kandungan berkenaan, menyahdayakan atau mengehadkan akses kepada hantaran yang dipertikaikan serta saluran YouTube milik Wan Muhammad Azri dalam tempoh munasabah selepas menerima notis berkenaan.
MCMC turut mendakwa Google mengetahui tindakan berterusan Wan Muhammad Azri menyebarkan kandungan yang memudaratkan di platform itu, namun gagal atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkannya.
Kegagalan berkenaan, menurut plaintif, menyebabkan kandungan terbabit terus disebarkan semula sehingga menjejaskan persepsi dan kredibiliti pemimpin negara serta menghakis keyakinan awam.
MCMC mendakwa kandungan berkenaan mengandungi maklumat palsu, mengelirukan dan tidak berasas berkaitan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.
Atas alasan itu, suruhanjaya berkenaan mendakwa mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan akibat kegagalan Google mengambil tindakan terhadap kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula di YouTube.
Antara tuntutan yang dikemukakan ialah deklarasi bahawa Google sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan MCMC bagi mengalih keluar serta menyekat akses kepada kandungan yang dipertikaikan.
MCMC turut memohon deklarasi bahawa Google melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadap suruhanjaya itu dan pelanggan di Malaysia apabila membenarkan kandungan dalam talian yang didakwa memudaratkan serta bertentangan dengan undang-undang negara terus berada di YouTube.
Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi supaya Google meneruskan tindakan menyekat akaun YouTube berkenaan serta mengambil langkah dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri.
Tindakan itu turut diminta meliputi kandungan yang dimuat naik menerusi akaun pihak ketiga, termasuk dalam sesi siaran langsung di YouTube.
MCMC turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing sebanyak RM100 juta atau apa-apa jumlah lain yang ditaksirkan mahkamah.
Plaintif juga memohon faedah terhadap ganti rugi yang diberikan, kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.