25 NOV : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, Khamis ini.
Pertemuan itu dijangka bagi menyampaikan keputusan parti berhubung kemelut politik negeri itu.
Laporan Sinar Harian yang memetik sumber memaklumkan dua lagi pemimpin dijangka menghadap Tuanku Muhriz adalah Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tujuan menghadap itu adalah untuk mengemukakan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.
“Setakat yang dimaklumkan, Tuanku Muhriz berkenan menerima mereka menghadap pada tarikh tersebut, namun tidak diketahui sama ada ia akan dibatalkan pada saat akhir,” katanya.
Sumber juga menyebut, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN diarahkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kemelut berkenaan bagi mengelakkan keadaan semakin keruh.
Bagaimanapun, katanya, parti sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap krisis itu, termasuk isu kedudukan Menteri Besar.
Jumaat lalu, seramai 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mencapai kesepakatan untuk mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti bagi menyelesaikan kemelut politik berkenaan.
Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan yang dipengerusikan Mohamad.
Istana Megeri Sembilan sebelum ini mengeluarkan kenyataan, Datuk Ismail Lasim perlu membuktikan beliau memiliki sokongan majoriti untuk terus menjawat sebagai Menteri Besar.
Kemelut itu berpanjangan berikutan Ismail yang juga ADUN Juasseh mendakwa beliau tidak pernah bersetuju untuk meletakkan jawatan seperti dilaporkan.
Beliau turut mendakwa hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan yang diumumkan pimpinan BN menerusi laporan media.