27 NOV: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menfikan dakwaan beliau kecewa meskipun apabila tidak dilantik sebagai Menteri Besar negeri itu, walaupun namanya sebelum ini antara yang disebut-sebut sebagai calon bagi jawatan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, pelantikan Menteri Besar merupakan hak prerogatif presiden parti dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Siapa yang kata harapan (saya nak jadi Menteri Besari) ini? Harapan semua orang ada harapan. Cumanya saya, saya dah bagi tahu awal-awal, soal untuk menjadi Menteri Besar atau tidak, ini adalah prerogatif kepada presiden parti dan juga perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yamtuan Besar.
“Kita harus ingat itu. Jadi sebagai rakyat dan juga sebagai pemimpin parti, saya menjunjung kasih kepada titah Tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Mengulas lanjut, Jalaluddin menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang rasa kecewa berhubung perkara itu.
“Dan kalau saudara-saudari lihat, saya okay, ‘I’m okey’ dan saya tidak mempunyai orang kata apa…sebarang rasa kekecewaan dan sebagainya.
“Ceplos dan sebagainya…itu adalah tanggungjawab mereka, kalau tak mereka tak ada kerja pula,” katanya.
Beliau berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan kesetiaan kepada institusi diraja terus diperkukuhkan bagi mengelakkan kemelut sebelum ini berulang.
“…dan yang penting sekali ialah ketaatan kita kepada Duli Tuanku itu mesti diperkukuhkan dari masa ke semasa, supaya perkara dan sejarah hitam yang berlaku sebelum ini tidak lagi berulang, itu yang penting bagi kita.
“Kalau itu dapat kita pegang, urus cara bersama, sama ada bagi pemimpin ataupun pemimpin parti, saya tak fikir itu boleh menggugat kesejahteraan rakyat,” katanya.