12 DIS : Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mengetepikan segala masalah dalam parti agar agar boleh menjadi kerajaan dominan di negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yakin sekiranya masalah dalaman khususnya isu-isu remeh yang tercetus antara parti komponen dan parti mesra BN dapat diketepikan, BN diyakini mampu memperoleh kemenangan besar pada PRU-15 kelak.
“Kita ketepikan masalah ‘inter-party’ (antara pihak dalam BN), kita ketepikan perbezaan politik dan kita bawa rakan-rakan lain (parti mesra BN) agar menang PRU15.
“Rakyat Malaysia inginkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dari segi ekonomi dan berdasarkan rekod prestasi selama lebih tujuh dekad mentadbir negara ini, hanya BN dilihat mampu merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Yang Turut hadir pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan MIC itu ialah Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan kepada MIC bahawa kerusi tradisi parti itu tidak akan ditandingi oleh mana-mana parti mesra BN pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga meminta MIC supaya tidak bimbang dengan kehadiran parti mesra BN yang baharu pada PRU-15, malah beliau akan memastikan parti itu membantu MIC untuk menang bersama.
Presiden UMNO turut mengingatkan semua parti komponen BN supaya tidak sombong, angkuh dan riak dengan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
“Kita lihat pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar, kita menang majoriti besar tetapi PRU-14 kita kalah di kawasan itu. Kemenangan yang berlaku tidak semestinya menjadi templat atau acuan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, jika kemenangan PRN Melaka dijadikan panduan, ia boleh disifatkan bahawa rakyat Malaysia ‘amat merindukan’ BN untuk kembali menerajui semula kerajaan pada PRU-15.