12 MAC : Sebanyak RM3.8 juta bantuan telah diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kepada murid Orang Asli melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membeli pakaian seragam sekolah bermula tahun ini sehingga 2023.
Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata setakat ini sebanyak 7,494 set bantuan persekolahan sudah disampaikan oleh JAKOA di seluruh negara.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,629 set bantuan disalurkan di Pahang pada sesi persekolahan tahun ini.
“Bantuan ini menjadi antara inisiatif KPLB untuk mengurangkan peratus keciciran murid Orang Asli serta menggalakkan mereka untuk ke sekolah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada wakil murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kechau 1, Kuala Lipis, Pahang.
Jelasnya lagi, melalui inisiatif itu, KPLB berharap agar masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam pendidikan dan dapat melahirkan generasi baharu yang bakal menjadi pemimpin dan menyumbang bakti kepada masyarakat serta negara.
Selain bantuan pakaian seragam, KPLB turut menyediakan bantuan lain seperti pengangkutan ke sekolah, bantuan wang saku dan lain-lain bantuan, bertujuan memastikan masyarakat Orang Asli mendapat pendidikan yang sempurna.