SoftBank labur dalam infrastruktur AI di Sarawak, Semenanjung
9 SEPT : Pelaburan konsortium diterajui SoftBank dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia, selain memberi ruang kepada syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan sektor teknologi berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan yang turut membabitkan Grab dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) itu akan dilaksanakan di Sarawak serta Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadi perkembangan penting dalam transformasi digital negara.
Beliau menyambut baik pengumuman berkenaan yang disifatkan mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Malaysia dalam membangunkan dan menggunakan teknologi AI.
“Kesediaan pelabur global seperti SoftBank dan Masayoshi Son untuk melabur di Malaysia mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan negara, iklim pelaburan serta kestabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, gabungan modal dan kepakaran SoftBank dengan keupayaan AI serantau Grab serta rekod pelaksanaan teknologi itu dalam ekosistem operasinya mampu memperkukuh infrastruktur AI negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Katanya, projek itu turut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030 seperti digariskan dalam Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.
“Saya menjangkakan pelaburan ini akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia serta membantu lebih ramai rakyat membina kepakaran dalam bidang AI.
“Projek ini juga sepatutnya membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan ketika Malaysia membangunkan keupayaan AI,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan pembangunan infrastruktur digital berskala besar itu perlu mengambil kira matlamat kelestarian negara dan mematuhi semua syarat ditetapkan kerajaan Persekutuan serta negeri, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu.
“Projek ini mesti memenuhi keperluan yang terpakai di peringkat Persekutuan dan negeri termasuk berkaitan penggunaan tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri berkaitan bagi memudah cara pelaksanaan projek berkenaan.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia