8 OGOS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan 750 anggotanya membantu petugas kesihatan mengendalikan kes-kes berkaitan Covid-19.di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata, khidmat anggota ATM diperlukan, antaranya bagi membantu membawa tong-tong oksigen kepada pesakit di hospital berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebelum ini timbul isu tenaga kerja untuk memberi bantuan oksigen bagi mengelak kelewatan. “ATM menyediakan 750 anggota untuk membantu hospital di seluruh Lembah Klang termasuk 90 anggota ATM di tempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
“Sebab satu balang berisi oksigen selama lapan jam, jadi selepas habis oksigen itu kita mahu terus bagi yang baharu, jadi kita tak nak ada ‘lagged’ (kelewatan) yang boleh membahayakan pesakit,” katanya selepas meninjau kemudahan di HTAR Klang, Selangor hari ini.
Terdahulu, Ismail mendengar taklimat kira-kira sejam bersama kepimpinan HTAR, Klang di sini mengenai status pengoperasian dan rawatan kepada pesakit Covid-19 dan pesakit bukan Covid-19.
Mengulas lanjut Ismail berkata ini antara perkara yang ditambah baik selain prosedur perolehan untuk pembelian ubat-ubatan serta peralatan perubatan lain.
“Jadi kalau boleh kurangkan birokrasi termasuk birokrasi perolehan, kerana ini boleh dianggap sebagai kecemasan…jadi boleh diketepikan sedikit prosedur, jika tidak ia akan memakan masa…ini saya akan bincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata kemudahan ambulans seperti Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan Saint John mungkin akan diberi token atas khidmat bakti yang diberikan.
“Sekarang memang mereka membantu kita tetapi secara sukarela, jadi mungkin kita boleh bincang kalau ada peruntukan boleh beri sedikit token kepada mereka untuk membantu mengambil pesakit dengan segera dari rumah,” katanya
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata HTAR telah melakukan penambahan 578 katil termasuk 100 katil di hospital medan untuk menampung peningkatan pesakit Covid-19.
“Setakat hari ini, hospital ini mempunyai 1,264 katil iaitu 900 untuk pesakit Covid-19, manakala selebihnya katil bagi pesakit bukan Covid-19,” katanya.