8 OGOS: Lebih 100 Ketua UMNO Bahagian (KB) dari seluruh negara dikatakan sepakat menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan Presiden UMNO, secepat mungkin.
Dakwan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin kononnya sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan Ahmad Zahid menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) pada 3 Ogos lalu.
Mohd Fuad berkata semua Ketua Bahagian berkenaan juga kecewa dengan keputusan Zahid mengarahkan Ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN serta-merta, pada saat rakyat berdepan kesusahan akibat krisis pandemik COVID-19.
“Ketua-ketua UMNO bahagian turut berpandangan tindakan itu akan menyebabkan pemimpin UMNO dilihat tidak bertanggungjawab terhadap rakyat pada saat kerajaan PN bertungkus-lumus mendepani krisis Covid-19 yang semakin serius.
“Bagaimanapun, persepakatan lebih 100 ketua UMNO bahagian ini bukanlah satu gerakan untuk menjatuhkan Zahid.
“Proses ini adalah proses biasa yang akan dilaksanakan melalui pemilihan parti yang perlu dilaksanakan Zahid secepat mungkin. Tidak timbul isu kita mahu memburukkan sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Fuad berkata beliau juga menghargai tindakan Ahli Parlimen yang kekal bersama kerajaan PN yang dilihat mendahulukan kepentingan rakyat dan negara daripada sibuk bermain politik.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.