9 SEPT : Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dipanggil ke Bukit Aman pagi esok bagi memberi keterangan susulan kenyataannya berkait sijil halal, minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata selain Teresa, polis juga akan memanggil beebrapa saksi lain untuk memberi keterangan.
“Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan ditentukan kemudian,” katanya, lapor Sinar Harian.
Semalam, polis dilaporkan sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Is susulan polis menerima lima laporan membabitkan pandangan Teresa itu termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati dengan pemimpin DAP tersebut.
Menurut Razarudin, prosedur operasi standard (SOP) siasatan membabitkan kaum, agama dan institusi raja (3R) dijalankan setelah menerima laporan polis.
Kata Razarudin, meski kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat had yang perlu dipatuhi.
Dalam pada itu,PDRM menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.
Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.