5 NOV : Pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan enjin susulan isu pencemaran petrol RON95 mula menerima bayaran ganti rugi secara ihsan daripada dua syarikat pembekal bahan api, Petron dan Caltex.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembayaran berkenaan dibuat berdasarkan kriteria ditetapkan dan tidak bermaksud syarikat terbabit mengakui sebarang kesalahan atau liabiliti pada peringkat ini.
“Pihak Caltex dan Petron telah merangka program pemulihan pelanggan melalui program bantuan, yang melibatkan pembayaran secara ihsan berpandukan kriteria yang telah ditetapkan, tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau liabiliti pada peringkat ini.
“Pembayaran tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang telah mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel petrol RON95 di lima negeri dan depoh, selain tindakan kerajaan memulihkan keyakinan pengguna serta menyediakan pampasan kepada pemilik kenderaan terjejas.
Mengulas soal hasil siasatan, Armizan berkata, analisis awal Jabatan Kimia terhadap 43 sampel petrol tidak mengesan unsur pencemaran air setakat ini dan laporan awal bertarikh 29 Oktober mendapati kandungan air berada di bawah 0.05 peratus, iaitu paras minimum pengesanan yang boleh dilaporkan.
Menurut Armizan, sebanyak 262 sampel petrol RON95 diambil di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak sejak aduan mula diterima, 3 Oktober lalu.
“Baki sampel yang lain masih dalam proses analisis dan laporan penuh akan dikeluarkan selepas semua sampel selesai dianalisis oleh Jabatan Kimia.
“Tumpuan segera diberikan kepada parameter pengesanan air dan setakat ini ia nampak tidak (tiada unsur air). Jadi kita melihat siasatan lanjut kepada kehadiran benda asing yang lain dan juga formula bekalan pada tempoh tertentu,” katanya.
Selain analisis Jabatan Kimia, kedua-dua syarikat terbabit turut menghantar sampel ke makmal masing-masing, termasuk di luar negara.
Armizan berkata, walaupun hasil siasatan belum konklusif, petunjuk awal menunjukkan isu berkenaan tidak membabitkan keseluruhan rantaian bekalan, sebaliknya tertumpu kepada bekalan dalam tempoh tertentu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan insiden itu tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil kerana aduan tertumpu di lokasi tertentu, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang, selain masih terdapat stesen minyak yang belum beroperasi semula.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, katanya, KPDN sedang membuat penandaarasan dengan beberapa negara termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia bagi memperkukuh standard kualiti serta pemantauan di sepanjang rantaian bekalan bahan api.
Dalam pada itu, pemilik kenderaan yang tidak berpuas hati dengan jumlah bayaran ihsan ditawarkan masih boleh menggunakan saluran undang-undang, termasuk mengemukakan aduan rasmi kepada KPDN, memfailkan tindakan sivil atau membawa tuntutan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).