Kecerdasan buatan tidak sebabkan hilang kerja
12 DIS : Penyerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) seiring perkembangan zaman tidak akan menyebabkan berlakunya kehilangan pekerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebimbangan itu sama seperti ketika revolusi pendigitalan sebelum ini namun nyatanya orang ramai boleh menerima penggunaan teknologi maklumat (IT) sekaligus memudahkan tugasan harian.
“Kemudian penggunaan IT, orang bimbang tapi kita boleh, mampu. Maknanya keupayaan pemikiran untuk menyelesaikan masalah ini tetapi latihan sangat perlu dan mendesak.
“Kita harus latih keupayaan anak tempatan untuk memberikan perisian supaya yang dimuntahkan, dilontarkan AI itu kelak adalah yang dimasukkan oleh kita bukan hanya dimasukkan oleh pandangan Barat atau Timur atau sistem lain.
“Saya tambah soal pemupukan nilai. Apa yang penting dalam negara kita, Madani ini ialah soal identiti, nilai, moral, etika kerana kita bicara soal manusia, kita tidak bicara soal mesin. Kita tidak hanya bicara AI dari segi mesin, kita bicara manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di MITEC Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus komited untuk melatih anak tempatan dengan mensasarkan 50,000 orang dilatih menjelang 2025 dalam Kemahiran, Peraturcaraan dan Analisis Data Kecerdasan Buatan.

Dalam pada itu, katanya kerangka digital dalam dasar negara dapat memacu negara mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang menjadi hasrat kerajaan.
“Tetapi ia menjadi suatu kemestian (sekarang). Ini dikatakan pemerdayaan. Mengangkat keupayaan kita dan mengharapkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang didorong oleh digital.
“Ini sekali lagi saya tekankan mengapa kita di antara beberapa negara awal di dunia yang meletakkan satu Kementerian Digital kerana ini penentuan untuk menjayakan negara kita,” katanya.
Anwar berkata seiring perkembangan semasa, kecelikan digital kini menjadi suatu kemestian untuk setiap lapis rakyat.
“Dahulu kita kata kecelikan dari segi pendidikan asas. Kemudian kita rasa, sekarang ini digital literacy atau kecelikan digital itu sudah menjadi kemestian.
“Dari sekolah rendah hingga universiti, bagi peringkat pengurus kita minta supaya melangkau dari batas-batas peraturan demokrasi yang ada,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim