3 MAC : Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan berjumlah RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.
RUU yang dibentang Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan itu diluluskan selepas dibahaskan ahli Parlimen dari kedua-dua blok.
RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 itu melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan bagi 2024.
Perbelanjaan tambahan itu membabitkan penggunaan peruntukan bagi Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu RM12,624,721,830, Kumpulan Wang Terkanun (RM3,151,419,300), Kementerian Pendidikan (RM1,763,672,170), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM1,148,146,080) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM1,077,146,050).
Peruntukan itu juga untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (RM417,999,870) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (RM8,194,200).
Pada sesi penggulungan, Amir Hamzah berkata kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion kepada subsidi, insentif dan bantuan bagi tahun 2024 dengan komitmen perbelanjaan melebihi anggaran asal Belanjawan 2024 iaitu RM58 bilion.
Katanya, punca utama peningkatan itu untuk menampung keperluan tambahan subsidi produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
Menurutnya, penyumbangkan utama tambahan komitmen sebanyak RM12.1 bilion adalah penjadualan penyasaran semula subsidi
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal dilaksanakan kelak selaras dengan penyasaran subsidi elektrik serta diesel yang melibatkan penetapan harga berperingkat.
Jelasnya, subsidi elektrik kini mengguna pendekatan iaitu pengguna elektrik dengan penggunaan lebih tinggi dikenakan tarif elektrik yang lebih mahal manakala penyasaran subsidi diesel pula menetapkan harga jualan runcit di pam tanpa subsidi iaitu pada masa ini RM3.18 seliter.
“Subsidi kemudian disasarkan kepada sektor yang layak seperti kenderaan sektor logistik dengan menggunakan kaedah fleet card untuk terus membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 iaitu RM1.00 lebih rendah, sementara pengguna yang layak pula menerima bantuan tunai BUDI MADANI,” katanya, lapor Bernama.